1 Makabe 15:1-13 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Sementara itu dari kepulauan Yunani, Antiokhus putera Raja Demetrius menulis surat kepada Simon, iaitu Imam Agung serta penguasa bangsa Yahudi, dan kepada seluruh rakyat.

2. Beginilah bunyi surat itu:“Raja Antiokhus kepada Simon, Imam Agung serta penguasa bangsa Yahudi, dan kepada seluruh rakyat, salam!

3. Kerajaan nenek moyang kami telah dirampas oleh beberapa orang penjahat. Kami bermaksud merebutnya kembali dan memulihkan kejayaannya yang dahulu. Kami telah mengumpulkan tentera besar dan memperlengkapi kapal-kapal perang.

4. Kami mahu mendarat di negeri kami dan menumpaskan orang yang sudah merosak banyak kota dan menghancurkan negeri.

5. Kami mengukuhkan penghapusan cukai bagi tuan dan pembayaran-pembayaran lainnya yang sudah dihapuskan oleh raja-raja yang terdahulu daripada kami.

6. Kami memberi kuasa kepada tuan untuk mencetak mata wang sendiri untuk negeri tuan.

7. Yerusalem dan Rumah Allah tetap bebas daripada cukai. Semua perlengkapan senjata yang tuan buat dan semua kubu yang tuan dirikan dan kuasai, tetap milik tuan.

8. Selain itu semua hutang tuan kepada perbendaharaan kerajaan dan apa yang harus tuan bayar, dihapuskan untuk selama-lamanya.

9. Segera sesudah kami merebut takhta, kami akan memberi kehormatan besar kepada tuan sendiri, bangsa tuan dan Rumah Allah, sehingga menjadi termasyhur di seluruh dunia.”

10. Dalam tahun 174 Antiokhus menyerbu negeri nenek moyangnya. Banyak pasukan bergabung dengan dia, sehingga tinggal sedikit sahaja di pihak Trifon.

11. Trifon dikejar oleh Antiokhus dan lari ke kota Dor di pantai.

12. Trifon sedar bahawa tidak ada harapan baginya, oleh sebab dia sudah ditinggalkan oleh semua pasukannya.

13. Antiokhus mengepung kota Dor dengan 120,000 orang askar dan 8,000 orang pasukan berkuda.

1 Makabe 15