1 Makabe 14:4-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Selama masa pemerintahan Simon, negeri Yudea aman. Dia mengusahakan kesejahteraan bangsanya. Pemerintahannya disukai oleh orang bawahannya, dan dia dihormati seumur hidupnya.

5. Yope sebuah kota pelabuhan ditawannya, sehingga terbukalah jalan menuju kepulauan Yunani. Jasa Simon itu membuatnya lebih termasyhur lagi.

6. Simon memperluas wilayah bangsanya dan menguasai seluruh negeri.

7. Banyak tawanan perang dibawanya pulang. Gezer, Bet-Zur, dan kubu di Yerusalem ditawannya. Kubu itu dibersihkannya daripada segala kenajisan, dan tidak seorang pun dapat menentangnya.

8. Orang Yahudi mengerjakan tanah mereka dalam keadaan aman dan tenteram. Maka tanah memberi hasil dan pokok-pokok berbuah dengan lebat.

9. Para pemuda memakai pakaian seragam tentera yang sangat indah, sedangkan orang tua-tua duduk-duduk di lapangan sambil mempercakapkan zaman yang sejahtera itu.

10. Simon membekalkan makanan bagi kota-kota dan memperlengkapinya dengan pertahanan yang kuat. Maka kemasyhurannya bertambah di seluruh negeri.

11. Dia memberi kedamaian kepada bangsanya, sehingga mereka sangat gembira.

12. Setiap orang hidup dengan tenang di bawah pokok anggur dan pokok aranya, dan tidak ada yang membuat mereka takut.

13. Semua raja yang memusuhi mereka sudah dikalahkan, dan di negeri itu tidak ada yang memerangi orang Yahudi.

14. Simon menolong banyak orang sebangsanya yang miskin. Dia mentaati Taurat Musa dan menumpas semua orang jahat dan pelanggar hukum.

15. Rumah Tuhan diperindahnya. Dia juga menambahkan sejumlah besar peralatan untuk keperluan ibadat.

16. Khabar tentang kematian Yonatan membuat orang Roma dan Sparta amat sedih.

17. Tetapi ketika orang Sparta mendengar bahawa Simon telah menggantikan adiknya sebagai Imam Agung, dan bahawa dia menguasai seluruh negeri dan semua kotanya,

18. mereka menulis kepada Simon untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan yang dahulu dibuat oleh mereka dengan Yudas dan Yonatan, saudara-saudaranya. Surat yang diukir pada lempeng gangsa

1 Makabe 14