30. Yonatan telah mempersatukan bangsa kita dan menjadi Imam Agung sehingga dia meninggal.
31. Kemudian musuh mahu menyerbu dan memusnahkan negeri ini serta menajiskan Rumah Allah.
32. Tetapi Simon bangkit dan berjuang bagi bangsanya. Sejumlah besar wangnya disumbangkannya untuk memberi nafkah dan perlengkapan senjata kepada angkatan perang negara.
33. Kota-kota di Yudea diperkuatkannya, khususnya Bet-Zur di perbatasan, yang dahulu menjadi gudang senjata musuh. Lalu ditempatkannya sebuah pasukan Yahudi untuk menduduki kota itu.
34. Diperkuatnya pula kota pelabuhan Yope dan kota Gezer di perbatasan Asdod yang dahulu diduduki tentera musuh. Di kota-kota itu ditempatkannya orang Yahudi, dan mereka diperlengkapi dengan apa sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk membina kota itu semula.
35. Ketika rakyat melihat kesetiaan Simon dan segala usahanya untuk kejayaan bangsanya, dia dijadikan Imam Agung dan pemimpin mereka. Hal itu dilakukan oleh mereka kerana jasa-jasa dan kesetiaannya, kerana dia telah menjalankan keadilan dan dalam segala hal berusaha untuk meningkatkan darjat bangsanya.
36. Dalam masa pemerintahannya Simon berjaya menumpas orang asing dari negeri Yudea, juga tentera pendudukan musuh yang tinggal di kubu di Yerusalem dan yang biasa keluar dari situ untuk mencemarkan persekitaran Rumah Allah.
37. Lalu ditempatkannya orang Yahudi di kubu itu dan diperkuatkannya juga demi keamanan kota Yerusalem dan seluruh negeri. Tembok-tembok kota Yerusalem ditinggikannya.
38. Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.
39. Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.
40. Hal itu dilakukannya kerana baginda mendengar bahawa orang Roma menyebut orang Yahudi sahabat, sekutu dan saudara mereka. Baginda juga mendengar bahawa utusan Simon diterima dengan segala hormat di Roma.
41. Rakyat Yahudi dan imam-imam mereka telah berkenan mengangkat Simon dan keturunannya menjadi pemimpin dan Imam Agung mereka, sehingga tampil seorang nabi yang dapat dipercayai.
42. Simon dilantik menjadi penguasa negara dan panglima tentera. Dia berhak melantik orang yang bertanggungjawab atas perlengkapan tentera dan kota-kota berkubu, ketua pekerjaan umum dan pemerintahan daerah. Dia juga diberi kuasa untuk mengurus Rumah Allah.
43. Seluruh rakyat harus taat kepadanya dalam segala hal. Semua surat perjanjian rasmi harus dibuat atas namanya. Dia diberi hak untuk memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.
44. Tidak seorang pun daripada kalangan rakyat atau imam yang mempunyai hak untuk membatalkan sesuatu daripada keputusan-keputusan itu atau menentang perintah Simon. Dilarang juga mengadakan perhimpunan di negeri tanpa izinnya, atau memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.
45. Barang siapa tidak mengendahkan atau mentaati peraturan-peraturan itu akan dihukum.
46. Seluruh rakyat setuju memberi hak kepada Simon untuk bertindak sesuai dengan segala keputusan itu.
47. Simon pun menerimanya dan bersedia menjadi penguasa tertinggi, Imam Agung, panglima tentera dan pemimpin rakyat serta para imam.”
48. Lalu diputuskan untuk mengukir pernyataan itu pada lempeng gangsa dan memasangnya di tempat yang mudah dilihat di kawasan Rumah Allah.
49. Salinannya akan disimpan di perbendaharaan Rumah Allah untuk Simon dan anak-anaknya.