1 Makabe 14:27-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Inilah kandungan tulisan itu:“Pada tarikh lapan belas bulan Elul tahun 172, iaitu tahun ketiga pemerintahan Imam Agung Simon di Asaramel,

28. dalam persidangan besar para imam dan rakyat, para pemimpin bangsa dan kaum tua-tua, diumumkan hal-hal yang berikut:

29. Setiap kali terjadi pertempuran di negeri ini, Simon anak Matatias keturunan Yoarib dan saudara-saudaranya mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan Rumah Allah, bangsa dan Taurat kita terhadap musuh. Mereka telah membawa kehormatan besar kepada bangsa kita.

30. Yonatan telah mempersatukan bangsa kita dan menjadi Imam Agung sehingga dia meninggal.

31. Kemudian musuh mahu menyerbu dan memusnahkan negeri ini serta menajiskan Rumah Allah.

32. Tetapi Simon bangkit dan berjuang bagi bangsanya. Sejumlah besar wangnya disumbangkannya untuk memberi nafkah dan perlengkapan senjata kepada angkatan perang negara.

33. Kota-kota di Yudea diperkuatkannya, khususnya Bet-Zur di perbatasan, yang dahulu menjadi gudang senjata musuh. Lalu ditempatkannya sebuah pasukan Yahudi untuk menduduki kota itu.

34. Diperkuatnya pula kota pelabuhan Yope dan kota Gezer di perbatasan Asdod yang dahulu diduduki tentera musuh. Di kota-kota itu ditempatkannya orang Yahudi, dan mereka diperlengkapi dengan apa sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk membina kota itu semula.

35. Ketika rakyat melihat kesetiaan Simon dan segala usahanya untuk kejayaan bangsanya, dia dijadikan Imam Agung dan pemimpin mereka. Hal itu dilakukan oleh mereka kerana jasa-jasa dan kesetiaannya, kerana dia telah menjalankan keadilan dan dalam segala hal berusaha untuk meningkatkan darjat bangsanya.

36. Dalam masa pemerintahannya Simon berjaya menumpas orang asing dari negeri Yudea, juga tentera pendudukan musuh yang tinggal di kubu di Yerusalem dan yang biasa keluar dari situ untuk mencemarkan persekitaran Rumah Allah.

37. Lalu ditempatkannya orang Yahudi di kubu itu dan diperkuatkannya juga demi keamanan kota Yerusalem dan seluruh negeri. Tembok-tembok kota Yerusalem ditinggikannya.

38. Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.

39. Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.

1 Makabe 14