1 Makabe 14:15-30 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

15. Rumah Tuhan diperindahnya. Dia juga menambahkan sejumlah besar peralatan untuk keperluan ibadat.

16. Khabar tentang kematian Yonatan membuat orang Roma dan Sparta amat sedih.

17. Tetapi ketika orang Sparta mendengar bahawa Simon telah menggantikan adiknya sebagai Imam Agung, dan bahawa dia menguasai seluruh negeri dan semua kotanya,

18. mereka menulis kepada Simon untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan yang dahulu dibuat oleh mereka dengan Yudas dan Yonatan, saudara-saudaranya. Surat yang diukir pada lempeng gangsa

19. dibacakan kepada persidangan rakyat di Yerusalem.

20. Inilah salinan surat yang dikirim orang Sparta:“Rakyat Sparta dan para pemimpinnya kepada Imam Agung Simon, para pemimpin dan imam serta seluruh rakyat Yahudi, saudara-saudara kami, salam!

21. Para utusan yang tuan kirim kepada rakyat kami memberitahu bahawa saudara sekalian sangat termasyhur dan dihormati. Kunjungan mereka membuat kami sangat gembira.

22. Keterangan mereka sudah kami tulis dalam keputusan persidangan rakyat sebagai berikut: ‘Numenius anak Antiokhus dan Antipater anak Yason, utusan terhormat bangsa Yahudi, datang kepada kami untuk membaharui ikatan persahabatan mereka.

23. Persidangan rakyat berkenan menerima mereka dengan segala hormatnya dan menyalin keterangan mereka dalam piagam kota sebagai kenang-kenangan untuk rakyat Sparta. Salinan daripada dokumen itu dibuat untuk Imam Agung Simon.’ ”

24. Kemudian Simon mengutus Numenius ke Roma dan membawa hadiah perisai emas yang besar seberat 44 kilogram untuk mengukuhkan ikatan persahabatan dengan orang Roma.

25. Ketika rakyat mendengar semua kejadian itu, mereka berkata, “Bagaimana kami dapat membalas budi Simon dan anak-anaknya?

26. Dia dan saudara-saudaranya dan seluruh keluarga bapanya adalah orang yang gagah berani. Mereka sudah mengusir semua musuh kita dan menjamin kemerdekaan bangsa kita.”Oleh itu mereka membuat catatan pada lempeng gangsa yang digantungkan pada tugu-tugu di Bukit Sion.

27. Inilah kandungan tulisan itu:“Pada tarikh lapan belas bulan Elul tahun 172, iaitu tahun ketiga pemerintahan Imam Agung Simon di Asaramel,

28. dalam persidangan besar para imam dan rakyat, para pemimpin bangsa dan kaum tua-tua, diumumkan hal-hal yang berikut:

29. Setiap kali terjadi pertempuran di negeri ini, Simon anak Matatias keturunan Yoarib dan saudara-saudaranya mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan Rumah Allah, bangsa dan Taurat kita terhadap musuh. Mereka telah membawa kehormatan besar kepada bangsa kita.

30. Yonatan telah mempersatukan bangsa kita dan menjadi Imam Agung sehingga dia meninggal.

1 Makabe 14