1 Makabe 14:1-8 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Dalam tahun 172 Raja Demetrius yang Kedua mengumpulkan tentera baginda, lalu berangkat ke Media mencari bantuan untuk berperang melawan Trifon.

2. Ketika Arsakes yang Keenam, raja Persia dan Media mendengar bahawa Raja Demetrius telah memasuki wilayahnya, baginda mengirim seorang panglima dengan beberapa pasukan untuk menangkap Raja Demetrius hidup-hidup.

3. Tentera Raja Demetrius diserang dan ditumpaskan. Raja Demetrius sendiri ditangkap lalu dibawa menghadap Raja Arsakes dan dipenjarakan.

4. Selama masa pemerintahan Simon, negeri Yudea aman. Dia mengusahakan kesejahteraan bangsanya. Pemerintahannya disukai oleh orang bawahannya, dan dia dihormati seumur hidupnya.

5. Yope sebuah kota pelabuhan ditawannya, sehingga terbukalah jalan menuju kepulauan Yunani. Jasa Simon itu membuatnya lebih termasyhur lagi.

6. Simon memperluas wilayah bangsanya dan menguasai seluruh negeri.

7. Banyak tawanan perang dibawanya pulang. Gezer, Bet-Zur, dan kubu di Yerusalem ditawannya. Kubu itu dibersihkannya daripada segala kenajisan, dan tidak seorang pun dapat menentangnya.

8. Orang Yahudi mengerjakan tanah mereka dalam keadaan aman dan tenteram. Maka tanah memberi hasil dan pokok-pokok berbuah dengan lebat.

1 Makabe 14