5. Tapi saya tak mahu menyelamatkan diri sendiri pada waktu bahaya apa pun. Saya tidak menganggap saya lebih baik daripada saudara-saudara saya.
6. Biarpun semua bangsa yang membenci kita sudah bergabung untuk menumpas kita, saya akan berjuang untuk membela bangsa saya, Rumah Tuhan dan anak isteri kalian.”
7. Apabila mendengar kata-kata itu, berkobar-kobarlah semangat rakyat,
8. dan mereka menjawabnya dengan gegak gempita, “Hidup Simon, pemimpin kita yang baru, pengganti Yudas dan Yonatan!
9. Pimpinlah kami dalam peperangan! Semua perintah tuan akan kami lakukan!”
10. Lalu Simon mengumpulkan semua askar dan bergegas-gegas menyelesaikan tembok-tembok Yerusalem dan memperkuat semua pertahanannya.
11. Dia mengirim Yonatan anak Absalom serta sepasukan tentera yang cukup besar ke kota Yope. Yonatan mengusir penduduknya, lalu dia sendiri menetap di situ.
12. Sementara itu Trifon dengan sepasukan tentera yang besar meninggalkan kota Ptolemais untuk menyerbu negeri Yudea. Yonatan adik Simon dibawa serta sebagai tawanan.
13. Waktu itu Simon berkhemah dekat dengan kota Adida di pinggir dataran.
14. Ketika Trifon mendengar bahawa Simon sudah menggantikan Yonatan adiknya, dan bahawa dia sudah siap untuk bertempur melawannya, dia mengirim pesanan ini kepada Simon,
15. “Kami menahan Yonatan, adik tuan kerana sewaktu memegang jawatan, dia tidak membayar hutang-hutangnya kepada perbendaharaan kerajaan.
16. Tetapi kami akan membebaskannya asalkan tuan membayar 3,000 kilogram perak kepada kami dan mengirim dua orang anak lelakinya sebagai tawanan untuk menjamin bahawa dia tidak akan memberontak terhadap kami sesudah dia dibebaskan.”