1 Makabe 13:29-40 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

29. Di sekeliling piramid-piramid itu didirikannya tiang-tiang besar. Di atasnya ada ukiran perlengkapan senjata dan di sampingnya ukiran kapal-kapal. Tugu itu dibuat sebagai kenangan untuk segala zaman, supaya dilihat oleh semua orang yang belayar di laut.

30. Makam yang didirikan oleh Simon di kota Modein masih ada sehingga sekarang.

31. Sementara itu Trifon berkhianat terhadap Raja Antiokhus yang Keenam, raja yang masih muda itu, dan membunuh baginda.

32. Lalu Trifon menduduki takhta kerajaan Asia Barat Daya dan mendatangkan malapetaka pada wilayah itu.

33. Simon membina beberapa buah kubu di negeri Yudea dan melengkapinya dengan menara-menara yang tinggi, tembok-tembok yang kuat dan pintu gerbang dengan palang pintu. Dia juga menimbunkan persediaan makanan di dalamnya.

34. Lalu dia mengirim utusan kepada Raja Demetrius yang Kedua untuk memohon supaya wilayah itu dibebaskan daripada cukai, sebab Trifon hanya merampasi mereka.

35. Raja Demetrius mengirim jawapan ini:

36. “Raja Demetrius kepada Imam Agung Simon, dan sahabat para raja, kepada bangsa Yahudi dan para pemimpin mereka, salam!

37. Kami sudah menerima mahkota emas dan tangkai palma yang tuan kirim. Kami bersedia membuat perjanjian damai dengan tuan dan menulis kepada para pegawai cukai supaya memberi pengecualian daripada cukai.

38. Semua yang kami tentukan dahulu bagi tuan tetap berlaku, dan kubu-kubu yang tuan bina menjadi milik tuan.

39. Semua kekeliruan dan pelanggaran yang tuan lakukan sehingga sekarang, kami ampunkan. Tuan juga kami bebaskan daripada cukai kerajaan yang masih harus tuan bayar dan daripada cukai-cukai lainnya yang sehingga sekarang dipungut di Yerusalem.

40. Semua orang Yahudi yang memenuhi syarat, boleh masuk perkhidmatan pengawal peribadi kami. Marilah kita hidup berdamai.”

1 Makabe 13