1 Makabe 13:1-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Simon mendengar bahawa Trifon sudah mengumpulkan tentera yang besar dengan maksud memasuki negeri Yudea dan memusnahkannya.

2. Simon tahu bahawa khabar itu membuat rakyat takut dan gentar. Maka dia pergi ke Yerusalem. Dia mengumpulkan seluruh rakyat

3. dan berusaha membesarkan hati mereka dengan berkata, “Kalian tahu betapa banyaknya yang telah dilakukan oleh keluarga bapa saya, saudara-saudara saya dan saya untuk Taurat Musa dan Rumah Allah. Kalian juga tahu tentang semua peperangan dan kesusahan yang kami alami.

4. Semua saudara saya telah mengorbankan nyawa mereka demi Rumah Tuhan, Taurat, dan bangsa kita. Daripada mereka hanya saya yang masih hidup.

5. Tapi saya tak mahu menyelamatkan diri sendiri pada waktu bahaya apa pun. Saya tidak menganggap saya lebih baik daripada saudara-saudara saya.

6. Biarpun semua bangsa yang membenci kita sudah bergabung untuk menumpas kita, saya akan berjuang untuk membela bangsa saya, Rumah Tuhan dan anak isteri kalian.”

7. Apabila mendengar kata-kata itu, berkobar-kobarlah semangat rakyat,

8. dan mereka menjawabnya dengan gegak gempita, “Hidup Simon, pemimpin kita yang baru, pengganti Yudas dan Yonatan!

9. Pimpinlah kami dalam peperangan! Semua perintah tuan akan kami lakukan!”

10. Lalu Simon mengumpulkan semua askar dan bergegas-gegas menyelesaikan tembok-tembok Yerusalem dan memperkuat semua pertahanannya.

11. Dia mengirim Yonatan anak Absalom serta sepasukan tentera yang cukup besar ke kota Yope. Yonatan mengusir penduduknya, lalu dia sendiri menetap di situ.

12. Sementara itu Trifon dengan sepasukan tentera yang besar meninggalkan kota Ptolemais untuk menyerbu negeri Yudea. Yonatan adik Simon dibawa serta sebagai tawanan.

13. Waktu itu Simon berkhemah dekat dengan kota Adida di pinggir dataran.

14. Ketika Trifon mendengar bahawa Simon sudah menggantikan Yonatan adiknya, dan bahawa dia sudah siap untuk bertempur melawannya, dia mengirim pesanan ini kepada Simon,

15. “Kami menahan Yonatan, adik tuan kerana sewaktu memegang jawatan, dia tidak membayar hutang-hutangnya kepada perbendaharaan kerajaan.

16. Tetapi kami akan membebaskannya asalkan tuan membayar 3,000 kilogram perak kepada kami dan mengirim dua orang anak lelakinya sebagai tawanan untuk menjamin bahawa dia tidak akan memberontak terhadap kami sesudah dia dibebaskan.”

17. Meskipun Simon tahu bahawa dia ditipu, dia mengirim juga wang itu dan kedua-dua orang anak lelaki Yonatan, kerana dia tidak mahu menimbulkan rasa benci daripada pihak rakyat.

18. Dia takut mereka akan mengatakan bahawa Yonatan dibunuh kerana Simon tidak mahu mengirim wang dan kedua-dua orang anak itu.

19. Maka diturutinya permintaan Trifon, tetapi Trifon mengingkari janjinya dan tidak melepaskan Yonatan.

1 Makabe 13