1 Makabe 12:41-52 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

41. Yonatan juga datang ke Bet-Sean untuk menghadapi Trifon dengan 40,000 orang askar yang terpilih.

42. Apabila melihat Yonatan dengan tentera sebanyak itu, Trifon tidak berani menangkap dia.

43. Maka diterimanya Yonatan dengan segala hormat, lalu diperkenalkannya kepada semua sahabatnya. Yonatan diberinya berbagai-bagai hadiah. Lalu semua sahabat dan pasukannya diperintahkan mentaati Yonatan seperti dirinya sendiri.

44. Dia bertanya kepada Yonatan, “Mengapa tuan menyusahkan orang sebanyak itu, padahal kita tidak berperang?

45. Lebih baik tuan menyuruh mereka pulang. Baiklah tuan memilih beberapa orang untuk tinggal bersama-sama tuan, dan ikutlah dengan kami ke Ptolemais. Kota itu akan saya serahkan kepada tuan, juga kubu-kubu dan pasukan-pasukan lainnya dan semua pegawainya, kerana itulah maksud kedatangan saya di sini. Sesudah itu saya akan pulang.”

46. Yonatan percaya kepada Trifon dan mengikut nasihatnya. Dia menyuruh pasukan-pasukannya pulang ke Yudea.

47. Hanya 3,000 orang yang dibawanya, 2,000 orang ditinggalkan di Galilea, sedangkan 1,000 orang lainnya menyertai dia.

48. Tetapi apabila Yonatan memasuki kota Ptolemais, penduduknya menutup pintu gerbang. Yonatan ditangkap dan semua pengikutnya dibunuh dengan pedang.

49. Lalu Trifon mengirimkan pasukan tentera berjalan kaki dan pasukan berkuda ke Galilea dan ke Lembah Yizreel untuk menumpaskan seluruh tentera Yonatan.

50. Pasukan Yahudi berfikir bahawa Yonatan dan semua pengiringnya sudah ditangkap dan dibunuh. Maka mereka saling menguatkan hati dan maju dalam barisan siap bertempur.

51. Ketika musuh melihat bahawa orang Yahudi siap untuk berjuang mati-matian, mereka berbalik.

52. Semua orang Yahudi sampai ke Yudea dengan selamat tetapi dengan penuh perasaan takut. Seluruh rakyat Israel berkabung dengan sedih kerana menyangka Yonatan dan para pengiringnya sudah meninggal.

1 Makabe 12