31. Lalu Yonatan membelok dan menyerang orang Zabadi daripada suku bangsa Arab. Mereka dikalahkan dan milik mereka dirampas.
32. Sesudah itu Yonatan berangkat lagi dan pergi ke Damsyik, lalu menjelajah seluruh negeri.
33-34. Sementara itu Simon juga pergi bertempur dan sudah maju hingga ke Askelon dan kubu-kubu di sekitarnya. Dia kemudian membelok dan menuju ke Yope, sebuah kota berkubu, dan menempatkan tentera pendudukan untuk menjaganya kerana dia telah mendengar bahawa penduduk ingin menyerahkan kota berkubu itu kepada pasukan Raja Demetrius.
35. Apabila Yonatan kembali ke Yerusalem, dia memanggil kaum tua-tua rakyat dan membuat rancangan bersama-sama mereka untuk membina kubu-kubu di Yudea,
36. meninggikan tembok-tembok Yerusalem dan mendirikan tembok pemisah yang tinggi di antara kubu dan kota untuk memencilkan kubu supaya musuh tidak dapat berjual beli dengan penduduk.
37. Rakyat bergotong-royong memperkuat pertahanan kota, oleh sebab sebahagian tembok sebelah timur di sepanjang Lembah Kidron sudah roboh. Tembok di bahagian Kafenata juga perlu diperbaiki.
38. Simon juga membina semula kota Adida di kaki bukit. Kota itu diperkuatkannya lalu dipasangnya pintu gerbang dan palang pintu.
39. Kemudian Trifon berusaha untuk menggulingkan Raja Antiokhus supaya dia sendiri dapat menjadi raja Asia Barat Daya.
40. Tetapi dia khuatir Yonatan tidak akan bersetuju, dan akan memerangi dia. Oleh itu Trifon berangkat ke Bet-Sean dengan maksud menangkap dan membunuh Yonatan.
41. Yonatan juga datang ke Bet-Sean untuk menghadapi Trifon dengan 40,000 orang askar yang terpilih.
42. Apabila melihat Yonatan dengan tentera sebanyak itu, Trifon tidak berani menangkap dia.
43. Maka diterimanya Yonatan dengan segala hormat, lalu diperkenalkannya kepada semua sahabatnya. Yonatan diberinya berbagai-bagai hadiah. Lalu semua sahabat dan pasukannya diperintahkan mentaati Yonatan seperti dirinya sendiri.
44. Dia bertanya kepada Yonatan, “Mengapa tuan menyusahkan orang sebanyak itu, padahal kita tidak berperang?
45. Lebih baik tuan menyuruh mereka pulang. Baiklah tuan memilih beberapa orang untuk tinggal bersama-sama tuan, dan ikutlah dengan kami ke Ptolemais. Kota itu akan saya serahkan kepada tuan, juga kubu-kubu dan pasukan-pasukan lainnya dan semua pegawainya, kerana itulah maksud kedatangan saya di sini. Sesudah itu saya akan pulang.”
46. Yonatan percaya kepada Trifon dan mengikut nasihatnya. Dia menyuruh pasukan-pasukannya pulang ke Yudea.
47. Hanya 3,000 orang yang dibawanya, 2,000 orang ditinggalkan di Galilea, sedangkan 1,000 orang lainnya menyertai dia.