16. Kami telah memilih Numenius anak Antiokhus serta Antipater anak Yason dan mengutus mereka ke Roma untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan kami dengan orang Roma.
17. Mereka juga kami utus kepada saudara-saudara untuk menyampaikan salam kami, dan surat ini tentang pembaharuan ikatan persaudaraan kita.
18. Kami mohon saudara-saudara membalasnya.”
19. Inilah salinan surat yang dahulu dikirimkan oleh mereka kepada Onias:
20. “Raja Areios, raja Sparta kepada Imam Agung Onias, salam!
21. Kami telah menemukan sebuah dokumen tentang orang Sparta dan orang Yahudi yang menyatakan bahawa kita bersaudara, dan kedua-dua bangsa kita keturunan Abraham.
22. Sejak kami mengetahui hal itu, kami ingin mendapat khabar tentang keadaan saudara-saudara.
23. Kalau saudara-saudara bersedia membahagi semua harta, ternakan dan tanah saudara-saudara, maka kami menulis bahawa kami bersedia berbuat begitu juga. Kami menyuruh utusan kami memberitahu hal itu kepada saudara-saudara.”
24. Yonatan mendengar bahawa panglima-panglima Raja Demetrius kembali dengan tentera yang lebih besar lagi untuk berperang melawan dia.
25. Yonatan tidak mahu memberi kesempatan kepada mereka untuk masuk ke wilayahnya. Maka berangkatlah Yonatan dari Yerusalem dan menghadapi mereka di daerah Hamat.
26. Yonatan menyuruh beberapa orang pengintip ke perkhemahan musuh. Mereka kembali dan melaporkan bahawa musuh bersiap-siap hendak menyerang orang Yahudi pada waktu malam.
27. Apabila matahari terbenam, Yonatan menyuruh anak buahnya berjaga-jaga sepanjang malam dengan senjata lengkap, siap menghadapi serangan musuh setiap saat. Dia juga menempatkan penjaga-penjaga di sekeliling perkhemahan.
28. Apabila tentera musuh mendengar bahawa Yonatan dan anak buahnya sudah siap untuk bertempur, mereka sangat ketakutan. Mereka menyalakan api unggun di perkhemahan mereka lalu melarikan diri.
29. Yonatan dan anak buahnya melihat api unggun itu, tetapi hanya pada keesokan harinya mereka tahu akan apa yang telah terjadi.
30. Lalu Yonatan mengejar mereka, tetapi tidak berjaya menangkap mereka, kerana mereka sudah menyeberang Sungai Eleuterus.