1 Makabe 11:59-69 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

59. Raja juga melantik Simon abang Yonatan menjadi panglima daerah dari perbatasan Lebanon sehingga ke perbatasan Mesir.

60. Kemudian Yonatan dan tenteranya mara melalui daerah Siria Besar dan kota-kotanya, dan semua pasukan Siria bergabung dengannya sebagai sekutu. Dia pergi ke Askelon dan disambut dengan meriah oleh penduduk kota.

61. Dari situ dia pergi ke Gaza, tetapi penduduknya menutup pintu gerbang kota. Maka dikepungnya kota itu, dan daerah di sekitarnya dirampas dan dibakar.

62. Lalu penduduk Gaza mohon damai, dan Yonatan mengadakan perjanjian dengan mereka. Tetapi anak-anak para pemimpin mereka dikirimnya sebagai tawanan ke Yerusalem. Sesudah itu dia melewati negeri itu sehingga ke Damsyik.

63. Yonatan mendengar bahawa para panglima Raja Demetrius dengan tentera yang besar sudah tiba di Kades di Galilea dengan maksud untuk memecatnya.

64. Maka berangkatlah dia untuk berperang melawan mereka, sedangkan Simon abangnya ditinggalkan di Yudea.

65. Simon berkhemah di depan kota Bet-Zur, mengepung kota itu dan lama sekali bertempur dengan penduduknya.

66. Akhirnya mereka meminta damai, dan Simon bersetuju. Tetapi dia mengusir mereka dan menduduki kota. Lalu ditempatkannya tentera pendudukan di situ.

67. Sementara itu Yonatan dan pasukannya berkhemah dekat Tasik Genesaret. Pagi-pagi lagi mereka berangkat ke dataran Hazor.

68. Tetapi tentera musuh menghadapi mereka di situ, setelah meninggalkan sejumlah orang di pergunungan untuk mengadang orang Yahudi. Jadi sementara tentera musuh berhadapan dengan Yonatan,

69. semua orang itu keluar dari tempat persembunyian mereka lalu melancarkan serangan.

1 Makabe 11