41. Sementara itu Yonatan mengajukan permohonan kepada Raja Demetrius supaya pasukan-pasukannya ditarik kembali dari kubu di Yerusalem dan dari kubu-kubu lainnya di Yudea, kerana mereka terus memerangi Israel.
42. Raja Demetrius menjawab, “Permintaan tuan akan beta kabulkan, dan apabila ada kesempatan, tuan dan bangsa tuan akan beta beri kehormatan besar.
43. Tetapi sekarang baiklah tuan mengirim orang untuk menolong beta berperang, oleh sebab semua pasukan beta sudah memberontak.”
44. Maka Yonatan mengirim 3,000 orang askar yang gagah berani ke Antiokhia. Raja suka sekali dengan kedatangan mereka.
45. Tetapi 120,000 orang penduduk kota telah berkumpul di pusat kota dengan maksud untuk membunuh raja.
46. Apabila orang ramai itu menduduki jalan-jalan dan mula menyerang, raja melarikan diri ke dalam istana.
47. Lalu raja meminta pertolongan pasukan Yahudi, dan mereka semua berkumpul di sekeliling baginda. Mereka berserakan di seluruh kota dan membunuh kira-kira 100,000 orang.
48. Mereka menyelamatkan raja lalu merampas kota itu dan membakarnya sehingga musnah.
49. Apabila orang ramai melihat bahawa kota mereka sudah dikuasai sepenuhnya oleh orang Yahudi, mereka berkecil hati dan berteriak-teriak meminta belas kasihan kepada raja. Kata mereka,
50. “Berdamailah dengan kami! Jangan biarkan orang Yahudi terus memerangi kami dan kota ini!”
51. Para pemberontak melemparkan senjata mereka dan berdamai. Maka orang Yahudi sangat dihormati oleh raja dan semua orang di dalam kerajaan. Kemudian mereka kembali ke Yerusalem dengan membawa banyak barang jarahan.
52. Kedudukan Raja Demetrius sebagai raja diperkukuh dan negaranya aman dan tenteram.
53. Tetapi baginda mengingkari semua janjinya dan berbalik melawan Yonatan. Baginda tidak membalas kebaikan Yonatan terhadap baginda, sebaliknya baginda sangat menyusahkan dia.
54. Beberapa waktu kemudian Trifon kembali dengan Antiokhus yang masih sangat muda. Lalu Antiokhus dinobatkan sebagai raja.
55. Semua pasukan yang sudah dibubarkan oleh Raja Demetrius sekarang bergabung dengan raja yang masih muda itu. Raja Demetrius diserang dan dikalahkan lalu baginda melarikan diri.
56. Trifon menyita gajah-gajah dan merebut kota Antiokhia.
57. Lalu Raja Antiokhus yang masih muda itu menulis surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu sebagai berikut: “Beta meneguhkan tuan dalam jawatan Imam Agung dan melantik tuan menjadi penguasa bagi keempat-empat buah daerah. Tuan juga beta berikan gelaran ‘Sahabat Raja’.”