1 Makabe 11:19-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

19. Maka Demetrius yang Kedua menjadi raja dalam tahun 167.

20. Pada waktu itu Yonatan mengumpulkan orang dari Yudea untuk menyerang kubu di Yerusalem. Mereka membuat banyak alat penggempur untuk serangan itu.

21. Tetapi beberapa orang Yahudi derhaka yang membenci bangsa mereka sendiri pergi menghadap Raja Demetrius yang Kedua. Mereka memberitahu baginda bahawa Yonatan sedang mengepung kubu di Yerusalem.

22. Apabila mendengar hal itu Raja Demetrius menjadi murka dan segera pergi ke kota Ptolemais. Baginda mengirim sepucuk surat kepada Yonatan dengan perintah untuk menghentikan pengepungannya dan segera datang menghadap raja di Ptolemais.

23. Segera sesudah menerima pesan itu, Yonatan memerintahkan supaya pengepungan diteruskan. Dia memilih beberapa orang daripada kaum tua-tua di Israel dan beberapa orang imam untuk ikut bersama-sama dia. Dengan mempertaruhkan nyawa sendiri,

24. dia pergi menghadap raja di Ptolemais dengan membawa emas, perak, pakaian, dan banyak hadiah lainnya. Dia memberi kesan yang baik sehingga raja berkenan kepadanya.

25. Walaupun Yonatan difitnah oleh beberapa orang derhaka daripada bangsanya sendiri,

26. dia diperlakukan dengan baik oleh raja, seperti yang telah dilakukan oleh raja-raja sebelumnya. Yonatan diberi kehormatan di hadapan semua sahabat raja.

27. Dia diteguhkan dalam jawatannya sebagai Imam Agung dan dalam semua jawatan kehormatan yang dipegangnya sebelum itu. Bahkan dia juga dilantik ke dalam kalangan utama sahabat raja.

28. Lalu Yonatan memohon kepada raja supaya daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah Samaria dibebaskan daripada cukai, dan dia berjanji akan menyerahkan 11,000 kilogram perak sebagai gantinya.

29. Raja bersetuju, dan untuk meneguhkan semua hal itu, ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu,

1 Makabe 11