1 Makabe 11:12-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Baginda mengambil puteri baginda daripada Raja Aleksander dan memberikannya kepada Raja Demetrius. Raja Ptolemeus memutuskan semua hubungan dengan Raja Aleksander dan mereka bermusuhan secara terang-terangan.

13. Raja Ptolemeus memasuki kota Antiokhia dan menjadikan dirinya raja Asia Barat Daya. Dengan demikian baginda menjadi raja Mesir dan Asia Barat Daya.

14. Pada waktu itu Raja Aleksander berada di Kilikia kerana penduduk wilayah itu sedang memberontak.

15. Tetapi ketika baginda mendengar apa yang telah dilakukan oleh Raja Ptolemeus, baginda mara untuk berperang melawannya. Raja Ptolemeus menghadapinya dengan tentera yang kuat, sehingga Raja Aleksander terpaksa lari.

16. Raja Ptolemeus makin bertambah kekuasaannya. Sementara itu Raja Aleksander mencari perlindungan di Arab.

17. Tetapi baginda dibunuh oleh seorang Arab bernama Zabdiel, dan kepalanya dikirim kepada Raja Ptolemeus.

18. Dua hari kemudian Raja Ptolemeus sendiri mangkat. Pasukannya yang ada di kota-kota berkubu ditumpaskan oleh penduduk kota.

19. Maka Demetrius yang Kedua menjadi raja dalam tahun 167.

20. Pada waktu itu Yonatan mengumpulkan orang dari Yudea untuk menyerang kubu di Yerusalem. Mereka membuat banyak alat penggempur untuk serangan itu.

21. Tetapi beberapa orang Yahudi derhaka yang membenci bangsa mereka sendiri pergi menghadap Raja Demetrius yang Kedua. Mereka memberitahu baginda bahawa Yonatan sedang mengepung kubu di Yerusalem.

22. Apabila mendengar hal itu Raja Demetrius menjadi murka dan segera pergi ke kota Ptolemais. Baginda mengirim sepucuk surat kepada Yonatan dengan perintah untuk menghentikan pengepungannya dan segera datang menghadap raja di Ptolemais.

23. Segera sesudah menerima pesan itu, Yonatan memerintahkan supaya pengepungan diteruskan. Dia memilih beberapa orang daripada kaum tua-tua di Israel dan beberapa orang imam untuk ikut bersama-sama dia. Dengan mempertaruhkan nyawa sendiri,

24. dia pergi menghadap raja di Ptolemais dengan membawa emas, perak, pakaian, dan banyak hadiah lainnya. Dia memberi kesan yang baik sehingga raja berkenan kepadanya.

1 Makabe 11