1 Makabe 11:1-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir mengerahkan pasukan tentera yang sangat besar bilangan seperti pasir di pantai dan mengumpulkan banyak kapal perang. Dengan tipu muslihat baginda berusaha untuk mengambil kerajaan Raja Aleksander agar ditambahkan kepada wilayahnya sendiri.

2. Maka baginda pergi ke Siria dengan janji-janji perdamaian. Penduduk semua kota membuka pintu gerbang bagi baginda dan menyambut baginda. Hal itu dilakukan oleh mereka dengan perintah Raja Aleksander, kerana Raja Ptolemeus bapa mentua baginda.

3. Raja Ptolemeus menempatkan tentera pendudukan di setiap kota yang dimasukinya.

4. Apabila tiba di Asdod, baginda ditunjukkan puing-puing kuil Dagon yang terbakar, juga reruntuhan kota dan kampung-kampung di sekitarnya dan tempat mayat-mayat berserakan. Mayat orang yang mati terbakar dalam pertempuran ditumpuk di sepanjang jalan yang harus dilalui oleh Raja Ptolemeus.

5. Juga diceritakan kepadanya apa yang telah dilakukan oleh Yonatan, dengan maksud memburukkan namanya. Tetapi Raja Ptolemeus diam sahaja.

6. Yonatan pergi ke Yope untuk menyambut raja dengan upacara yang meriah. Mereka bersalam-salaman lalu menginap di sana.

7. Pada keesokan harinya Yonatan menghantar raja sehingga ke Sungai Eleuterus, lalu kembali ke Yerusalem.

8. Demikianlah dalam perjalanan itu Raja Ptolemeus mengambil alih kuasa terhadap kota-kota di sepanjang pantai hingga ke Seleukia-Laut. Baginda membuat rancangan jahat terhadap Raja Aleksander dengan

9. mengirim pesan ini kepada Raja Demetrius, “Baiklah kita membuat perjanjian. Puteri beta yang sekarang menjadi permaisuri Raja Aleksander akan beta berikan kepada tuanku, dan tuanku akan memerintah kerajaan ayahanda tuanku.

10. Beta menyesal menyerahkan puteri beta itu kepada Aleksander, oleh sebab dia berusaha untuk membunuh beta.”

11. Raja Ptolemeus memburuk-burukkan nama Raja Aleksander kerana baginda ingin mengambil kerajaannya.

12. Baginda mengambil puteri baginda daripada Raja Aleksander dan memberikannya kepada Raja Demetrius. Raja Ptolemeus memutuskan semua hubungan dengan Raja Aleksander dan mereka bermusuhan secara terang-terangan.

13. Raja Ptolemeus memasuki kota Antiokhia dan menjadikan dirinya raja Asia Barat Daya. Dengan demikian baginda menjadi raja Mesir dan Asia Barat Daya.

14. Pada waktu itu Raja Aleksander berada di Kilikia kerana penduduk wilayah itu sedang memberontak.

15. Tetapi ketika baginda mendengar apa yang telah dilakukan oleh Raja Ptolemeus, baginda mara untuk berperang melawannya. Raja Ptolemeus menghadapinya dengan tentera yang kuat, sehingga Raja Aleksander terpaksa lari.

1 Makabe 11