1 Makabe 10:75-85 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

75. Lalu mereka berkhemah dekat kota Yope. Mereka tidak diizinkan masuk oleh penduduk kota, kerana di situ sudah ada tentera pendudukan Apolonius. Tetapi Yonatan menyerang kota itu.

76. Kerana ketakutan, penduduk kota membuka pintu gerbangnya sehingga Yonatan dapat menguasai kota itu.

77. Apabila mendengar hal itu, Apolonius membawa 3,000 orang pasukan tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki yang amat besar. Dia berpura-pura menuju ke kota Asdod. Tetapi sementara itu dia mara ke dataran dengan mengharapkan kekuatan pasukan berkudanya.

78-79. Dengan diam-diam ditinggalkannya 1,000 orang pasukan berkudanya untuk menyerang tentera Yonatan dari belakang. Yonatan mengikuti musuh hingga ke Asdod, lalu pertempuran bermula.

80. Pada saat itulah Yonatan sedar bahawa mereka terjebak. Tenteranya dikepung dan dari pagi hingga petang mereka dihujani panah musuh.

81. Tetapi anak buah Yonatan bertahan seperti yang diperintahkan oleh Yonatan, dan pasukan berkuda musuh menjadi lelah.

82. Sesudah pasukan berkuda itu kepenatan, tiba-tiba Simon muncul dengan pasukannya. Dia menyerang dan menggempur pasukan tentera berjalan kaki musuh. Mereka tercerai-cerai lalu melarikan diri.

83. Pasukan berkuda bertaburan di dataran, lalu melarikan diri ke Asdod dan mencari perlindungan di kuil Dagon, dewa mereka.

84. Tetapi Yonatan membakar kota itu serta kuil Dagon yang ada di situ, dan semua orang yang berlindung di dalamnya mati terbakar. Kampung-kampung di sekitarnya juga dirampas dan dibakar.

85. Pada hari itu musuh yang mati kerana pedang atau api berjumlah lebih kurang 8,000 orang.

1 Makabe 10