1 Makabe 10:63-73 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

63. Dia dipersilakan duduk di sisi raja. Lalu Raja Aleksander memerintahkan para pegawai baginda, “Pergilah bersama dengan Yonatan ke tengah-tengah kota, dan isytiharkanlah bahawa tidak seorang pun boleh menuduh Yonatan tentang perkara apa pun atau menggugatnya dengan alasan apa pun.”

64. Ketika orang yang menuduhnya melihat bahawa Yonatan diberi pakaian kerajaan dan kehormatan, serta mendengar pengisytiharan itu, mereka semua melarikan diri.

65. Raja memberi kehormatan kepada Yonatan dengan memasukkannya di kalangan utama sahabat raja. Dia juga dilantik menjadi panglima dan gabenor wilayahnya.

66. Lalu Yonatan pulang ke Yerusalem dengan gembira dan selamat.

67. Dalam tahun 165 Demetrius yang Kedua putera Raja Demetrius yang Pertama meninggalkan Kreta dan tiba di Siria, negeri nenek moyangnya.

68. Apabila mendengar hal itu Raja Aleksander menjadi cemas, lalu kembali ke Antiokhia, ibu kota Siria.

69. Sementara itu Raja Demetrius melantik Apolonius kembali menjadi gabenor Siria Besar. Apolonius membentuk tentera yang besar lalu berkhemah dekat dengan Yamnia. Dia mengirim pesan ini kepada Yonatan, Imam Agung:

70. “Tuanlah satu-satunya yang memberontak terhadap kami. Oleh sebab tuan pula kami dijadikan bahan tertawaan dan ejekan. Mengapakah tuan menunjukkan kuasa tuan di pergunungan untuk melawan kami?

71. Kalau tuan memang percaya kepada tentera tuan, turunlah menghadapi kami di dataran supaya kita dapat mengadu kekuatan. Tuan akan melihat bahawa pasukan semua kota ada di pihak kami.

72. Terlebih dahulu, baiklah tuan menyelidiki siapa kami dan siapa sekutu kami. Tuan akan menyedari bahawa tuan tidak boleh bertahan terhadap kami. Nenek moyang tuan terpaksa melarikan diri sampai dua kali di negeri mereka sendiri.

73. Jangan harap tuan dapat bertahan terhadap pasukan berkuda dan tentera kami yang sekuat ini di dataran. Di sini tidak ada batu sebesar kerikil pun untuk tempat bersembunyi dan tidak ada tempat untuk lari.”

1 Makabe 10