1 Makabe 10:6-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Demikianlah Raja Demetrius menjadikan Yonatan sekutunya dan memberi kuasa kepadanya untuk mengumpulkan pasukan dan memperlengkapinya dengan senjata. Baginda juga berjanji bahawa para tawanan yang ditahan di kubu di Yerusalem akan diserahkan kepada Yonatan.

7. Lalu Yonatan pergi ke Yerusalem dan membacakan surat itu di hadapan seluruh rakyat dan tentera pendudukan di kubu itu.

8. Tentera pendudukan itu sangat ketakutan ketika mendengar bahawa raja telah memberi kuasa kepada Yonatan untuk mengumpulkan pasukan.

9. Mereka menyerahkan semua tawanan kepada Yonatan, dan dia mengembalikan mereka kepada ibu bapa mereka.

10. Lalu Yonatan menetap di Yerusalem dan mula membina kota itu semula.

11. Dia memerintahkan para pekerja untuk membina tembok-tembok di sekeliling Bukit Sion dengan batu-batu persegi besar, sehingga bukit itu menjadi kubu. Hal itu dilakukan oleh mereka.

12. Semua orang asing di kubu-kubu yang dibina oleh Bakhides melarikan diri.

13. Masing-masing meninggalkan tempat penjagaannya dan pulang ke negerinya sendiri.

14. Tetapi sejumlah orang Yahudi yang telah meninggalkan peraturan-peraturan Taurat Musa, masih menetap di Bet-Zur, tempat mereka melarikan diri.

15. Sementara itu Raja Aleksander mendengar janji-janji Raja Demetrius kepada Yonatan, juga tentang Yonatan sendiri, tentang pertempuran-pertempurannya, kepahlawanannya serta kesulitan-kesulitan yang dialaminya bersama dengan saudara-saudaranya.

16. Lalu Raja Aleksander bertitah, “Mungkinkah kita menemukan orang seperti dia? Baiklah kita jadikan dia sahabat dan sekutu kita.”

17. Maka ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu sebagai berikut:

18. “Raja Aleksander kepada Saudara Yonatan, salam!

1 Makabe 10