1 Makabe 10:58-72 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

58. Mereka disambut oleh Raja Aleksander, lalu Raja Ptolemeus menyerahkan Kleopatra, puteri baginda kepada Raja Aleksander. Pernikahan itu dirayakan di Ptolemais secara besar-besaran seperti kebiasaan di kalangan raja-raja.

59. Sementara itu Raja Aleksander menulis surat kepada Yonatan supaya dia datang menemui baginda.

60. Maka Yonatan pergi ke Ptolemais, dan dengan pakaian kebesaran dan semarak dia bertemu dengan kedua-dua orang raja itu. Dia memberi mereka hadiah daripada emas dan perak. Dia juga memberi banyak hadiah kepada sahabat-sahabat raja, dan mereka semua berkenan kepada dia.

61. Beberapa orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum dan mahu mencelakakan bangsanya berkomplot melawan Yonatan dan menuduh dia. Tetapi Raja Aleksander tidak menghiraukan mereka.

62. Malahan raja memerintahkan supaya Yonatan diberi pakaian kerajaan.

63. Dia dipersilakan duduk di sisi raja. Lalu Raja Aleksander memerintahkan para pegawai baginda, “Pergilah bersama dengan Yonatan ke tengah-tengah kota, dan isytiharkanlah bahawa tidak seorang pun boleh menuduh Yonatan tentang perkara apa pun atau menggugatnya dengan alasan apa pun.”

64. Ketika orang yang menuduhnya melihat bahawa Yonatan diberi pakaian kerajaan dan kehormatan, serta mendengar pengisytiharan itu, mereka semua melarikan diri.

65. Raja memberi kehormatan kepada Yonatan dengan memasukkannya di kalangan utama sahabat raja. Dia juga dilantik menjadi panglima dan gabenor wilayahnya.

66. Lalu Yonatan pulang ke Yerusalem dengan gembira dan selamat.

67. Dalam tahun 165 Demetrius yang Kedua putera Raja Demetrius yang Pertama meninggalkan Kreta dan tiba di Siria, negeri nenek moyangnya.

68. Apabila mendengar hal itu Raja Aleksander menjadi cemas, lalu kembali ke Antiokhia, ibu kota Siria.

69. Sementara itu Raja Demetrius melantik Apolonius kembali menjadi gabenor Siria Besar. Apolonius membentuk tentera yang besar lalu berkhemah dekat dengan Yamnia. Dia mengirim pesan ini kepada Yonatan, Imam Agung:

70. “Tuanlah satu-satunya yang memberontak terhadap kami. Oleh sebab tuan pula kami dijadikan bahan tertawaan dan ejekan. Mengapakah tuan menunjukkan kuasa tuan di pergunungan untuk melawan kami?

71. Kalau tuan memang percaya kepada tentera tuan, turunlah menghadapi kami di dataran supaya kita dapat mengadu kekuatan. Tuan akan melihat bahawa pasukan semua kota ada di pihak kami.

72. Terlebih dahulu, baiklah tuan menyelidiki siapa kami dan siapa sekutu kami. Tuan akan menyedari bahawa tuan tidak boleh bertahan terhadap kami. Nenek moyang tuan terpaksa melarikan diri sampai dua kali di negeri mereka sendiri.

1 Makabe 10