43. Siapa sahaja yang berhutang kepada raja atau yang mempunyai hutang lain, lalu mencari perlindungan di Rumah Allah di Yerusalem atau di mana sahaja di halaman rumah itu akan bebas, dan hartanya yang ada dalam batas-batas kerajaan kami tidak akan disita.
44. Semua perbelanjaan untuk membina dan memperbaiki Rumah Allah akan dibayar daripada pendapatan raja.
45. Biarlah perbelanjaan membina tembok-tembok Yerusalem semula, kubu-kubu pertahanan di sekelilingnya dan tembok-tembok lain di Yudea juga dibayar daripada pendapatan raja.”
46. Apabila Yonatan dan rakyat mendengar usul-usul Raja Demetrius, mereka tidak percaya dan tidak mahu menerimanya. Mereka masih ingat akan kejahatan-kejahatan besar yang dilakukannya terhadap Israel dengan menindas mereka.
47. Mereka lebih suka berpihak kepada Raja Aleksander, oleh sebab baginda terlebih dahulu menawarkan perdamaian. Jadi mereka tetap bersekutu dengan Raja Aleksander.
48. Sementara itu Raja Aleksander mengumpulkan banyak pasukan lalu berperang melawan Raja Demetrius.
49. Kedua-dua orang raja itu bertempur, lalu tentera Raja Demetrius melarikan diri. Raja Aleksander mengejar dan mengalahkan mereka.
50. Raja Aleksander berjuang mati-matian sehingga matahari terbenam, dan pada hari itu juga Raja Demetrius gugur.
51. Kemudian Raja Aleksander mengirim utusan kepada Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir dengan pesanan ini:
52. “Beta sudah kembali ke negeri beta, dan berjaya memukul mundur Demetrius. Beta telah merebut kuasa di wilayah kami dan menduduki takhta nenek moyang beta.
53. Demetrius dan tenteranya beta tumpaskan dalam perang dan beta mengambil alih kerajaannya.