1 Makabe 10:42-62 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

42. Selain itu kami menghapuskan cukai tahunan sebanyak 5,000 keping wang perak daripada pendapatan Rumah Allah. Wang itu untuk para imam yang menyelanggarakan ibadat di Rumah Allah.

43. Siapa sahaja yang berhutang kepada raja atau yang mempunyai hutang lain, lalu mencari perlindungan di Rumah Allah di Yerusalem atau di mana sahaja di halaman rumah itu akan bebas, dan hartanya yang ada dalam batas-batas kerajaan kami tidak akan disita.

44. Semua perbelanjaan untuk membina dan memperbaiki Rumah Allah akan dibayar daripada pendapatan raja.

45. Biarlah perbelanjaan membina tembok-tembok Yerusalem semula, kubu-kubu pertahanan di sekelilingnya dan tembok-tembok lain di Yudea juga dibayar daripada pendapatan raja.”

46. Apabila Yonatan dan rakyat mendengar usul-usul Raja Demetrius, mereka tidak percaya dan tidak mahu menerimanya. Mereka masih ingat akan kejahatan-kejahatan besar yang dilakukannya terhadap Israel dengan menindas mereka.

47. Mereka lebih suka berpihak kepada Raja Aleksander, oleh sebab baginda terlebih dahulu menawarkan perdamaian. Jadi mereka tetap bersekutu dengan Raja Aleksander.

48. Sementara itu Raja Aleksander mengumpulkan banyak pasukan lalu berperang melawan Raja Demetrius.

49. Kedua-dua orang raja itu bertempur, lalu tentera Raja Demetrius melarikan diri. Raja Aleksander mengejar dan mengalahkan mereka.

50. Raja Aleksander berjuang mati-matian sehingga matahari terbenam, dan pada hari itu juga Raja Demetrius gugur.

51. Kemudian Raja Aleksander mengirim utusan kepada Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir dengan pesanan ini:

52. “Beta sudah kembali ke negeri beta, dan berjaya memukul mundur Demetrius. Beta telah merebut kuasa di wilayah kami dan menduduki takhta nenek moyang beta.

53. Demetrius dan tenteranya beta tumpaskan dalam perang dan beta mengambil alih kerajaannya.

54. Oleh itu baiklah kita mengadakan perjanjian persahabatan. Izinkanlah beta memperisteri puteri tuanku. Beta akan memberikan hadiah-hadiah yang sesuai bagi tuanku dan puteri tuanku.”

55. Raja Ptolemeus menjawab, “Sungguh hari yang berbahagia ketika tuanku kembali ke negeri tuanku dan menduduki takhta nenek moyang tuanku.

56. Beta setuju dengan usul tuanku. Tetapi hendaklah tuanku menemui beta di kota Ptolemais supaya kita dapat berkenalan. Sesudah itu tuanku boleh memperisteri puteri beta.”

57. Maka dalam tahun 162 Raja Ptolemeus dan Kleopatra puteri baginda meninggalkan Mesir dan tiba di Ptolemais.

58. Mereka disambut oleh Raja Aleksander, lalu Raja Ptolemeus menyerahkan Kleopatra, puteri baginda kepada Raja Aleksander. Pernikahan itu dirayakan di Ptolemais secara besar-besaran seperti kebiasaan di kalangan raja-raja.

59. Sementara itu Raja Aleksander menulis surat kepada Yonatan supaya dia datang menemui baginda.

60. Maka Yonatan pergi ke Ptolemais, dan dengan pakaian kebesaran dan semarak dia bertemu dengan kedua-dua orang raja itu. Dia memberi mereka hadiah daripada emas dan perak. Dia juga memberi banyak hadiah kepada sahabat-sahabat raja, dan mereka semua berkenan kepada dia.

61. Beberapa orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum dan mahu mencelakakan bangsanya berkomplot melawan Yonatan dan menuduh dia. Tetapi Raja Aleksander tidak menghiraukan mereka.

62. Malahan raja memerintahkan supaya Yonatan diberi pakaian kerajaan.

1 Makabe 10