37. Sebilangan daripada mereka akan ditempatkan di kubu-kubu besar kerajaan, dan sebilangan lagi diberi kedudukan yang bertanggungjawab dalam pemerintahan. Pemimpin dan panglima mereka akan dilantik daripada kalangan mereka sendiri. Mereka boleh mengikut hukum mereka sendiri seperti yang sudah ditentukan oleh raja bagi negeri Yudea.
38. Ketiga-tiga buah daerah dari wilayah Samaria yang digabungkan dengan Yudea tetap tergabung dan dianggap satu dengan Yudea dan akan diletak di bawah kekuasaan Imam Agung sendiri.
39. Pendapatan dari kota Ptolemais dan daerah jajahannya kami hadiahkan kepada Rumah Allah di Yerusalem untuk membiayai perbelanjaan ibadat.
40. Setiap tahun kami akan menyumbangkan 15,000 keping wang perak daripada pendapatan raja yang diperolehi dari tempat yang layak.
41. Semua sisa wang negara yang belum dibayar oleh pegawai negara, mulai sekarang akan diberikan seluruhnya, seperti mana pada tahun-tahun yang lalu untuk pekerjaan di Rumah Allah.
42. Selain itu kami menghapuskan cukai tahunan sebanyak 5,000 keping wang perak daripada pendapatan Rumah Allah. Wang itu untuk para imam yang menyelanggarakan ibadat di Rumah Allah.
43. Siapa sahaja yang berhutang kepada raja atau yang mempunyai hutang lain, lalu mencari perlindungan di Rumah Allah di Yerusalem atau di mana sahaja di halaman rumah itu akan bebas, dan hartanya yang ada dalam batas-batas kerajaan kami tidak akan disita.
44. Semua perbelanjaan untuk membina dan memperbaiki Rumah Allah akan dibayar daripada pendapatan raja.
45. Biarlah perbelanjaan membina tembok-tembok Yerusalem semula, kubu-kubu pertahanan di sekelilingnya dan tembok-tembok lain di Yudea juga dibayar daripada pendapatan raja.”
46. Apabila Yonatan dan rakyat mendengar usul-usul Raja Demetrius, mereka tidak percaya dan tidak mahu menerimanya. Mereka masih ingat akan kejahatan-kejahatan besar yang dilakukannya terhadap Israel dengan menindas mereka.
47. Mereka lebih suka berpihak kepada Raja Aleksander, oleh sebab baginda terlebih dahulu menawarkan perdamaian. Jadi mereka tetap bersekutu dengan Raja Aleksander.
48. Sementara itu Raja Aleksander mengumpulkan banyak pasukan lalu berperang melawan Raja Demetrius.
49. Kedua-dua orang raja itu bertempur, lalu tentera Raja Demetrius melarikan diri. Raja Aleksander mengejar dan mengalahkan mereka.
50. Raja Aleksander berjuang mati-matian sehingga matahari terbenam, dan pada hari itu juga Raja Demetrius gugur.
51. Kemudian Raja Aleksander mengirim utusan kepada Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir dengan pesanan ini:
52. “Beta sudah kembali ke negeri beta, dan berjaya memukul mundur Demetrius. Beta telah merebut kuasa di wilayah kami dan menduduki takhta nenek moyang beta.
53. Demetrius dan tenteranya beta tumpaskan dalam perang dan beta mengambil alih kerajaannya.
54. Oleh itu baiklah kita mengadakan perjanjian persahabatan. Izinkanlah beta memperisteri puteri tuanku. Beta akan memberikan hadiah-hadiah yang sesuai bagi tuanku dan puteri tuanku.”