22. Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda sangat sedih dan bertitah,
23. “Bagaimana kita dapat membiarkan Raja Aleksander mendahului kita? Baginda sudah memperkuat kedudukannya dengan menjadikan orang Yahudi sahabatnya.
24. Baiklah beta juga menulis surat yang menyenangkan mereka dan menjanjikan kehormatan serta hadiah supaya mereka menyokong beta.”
25. Maka ditulisnya sepucuk surat kepada orang Yahudi dengan pesan ini:“Raja Demetrius kepada bangsa Yahudi, salam!
26. Kami sangat gembira mendengar bahawa saudara-saudara sudah menepati semua kewajipan daripada perjanjian kita. Saudara-saudara masih setia kepada kami dan tidak bergabung dengan musuh kami.
27. Apabila saudara-saudara tetap setia kepada kami, tindakan saudara-saudara akan kami balas dengan kebaikan.
28. Saudara-saudara akan kami beri banyak anugerah dan pengecualian daripada banyak cukai.
29. Dengan surat ini seluruh bangsa Yahudi kami bebaskan daripada kewajipan membayar cukai biasa, cukai garam, dan cukai-cukai khas untuk raja.
30. Selain itu mulai hari ini saudara-saudara kami bebaskan daripada kewajipan membayar sepertiga daripada hasil gandum dan separuh daripada hasil buah-buahan kepada kami. Mulai hari ini dan untuk selama-lamanya kami tidak akan menuntut pembayaran dari negeri Yudea dan ketiga-tiga buah wilayah yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Samaria dan Galilea, yang sekarang bercantum dengan Yudea.
31. Yerusalem dan daerah sekitarnya harus diakui sebagai kota suci dan dikecualikan daripada semua cukai.
32. Kami juga melepaskan kuasa kami atas kubu di Yerusalem dan menyerahkannya kepada Imam Agung. Dia boleh menempatkan askar-askar pilihannya di situ untuk menjaganya.
33. Semua orang Yahudi yang menjadi tahanan perang di mana sahaja di wilayah kerajaan kami, dibebaskan tanpa wang tebusan. Mereka semua akan dibebaskan daripada cukai, dan juga daripada cukai ternakan.
34. Bagi semua orang Yahudi di seluruh kerajaan kami, hari-hari Sabat, Perayaan Bulan Baru dan hari-hari lainnya yang sudah ditetapkan, tiga hari sebelum dan tiga hari sesudah hari-hari perayaan itu, merupakan hari perdagangan bebas dan bebas daripada tagihan hutang.