1 Makabe 10:1-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Dalam tahun 160 Aleksander Epifanes putera Raja Antiokhus yang Keempat mara berperang dan merebut kota Ptolemais. Putera Antiokhus yang Keempat itu diterima oleh penduduknya dan menjadi raja mereka.

2. Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera yang besar lalu pergi berperang melawan Aleksander.

3. Raja Demetrius juga mengirim surat yang penuh dengan kata-kata pujian dan damai kepada Yonatan,

4. oleh sebab baginda berfikir, “Baiklah kita cepat mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi sebelum mereka membuat perjanjian dengan Aleksander untuk melawan kita.

5. Yonatan tentu masih ingat akan semua kejahatan yang telah kita lakukan terhadap dia, saudara-saudaranya dan seluruh bangsanya.”

6. Demikianlah Raja Demetrius menjadikan Yonatan sekutunya dan memberi kuasa kepadanya untuk mengumpulkan pasukan dan memperlengkapinya dengan senjata. Baginda juga berjanji bahawa para tawanan yang ditahan di kubu di Yerusalem akan diserahkan kepada Yonatan.

7. Lalu Yonatan pergi ke Yerusalem dan membacakan surat itu di hadapan seluruh rakyat dan tentera pendudukan di kubu itu.

8. Tentera pendudukan itu sangat ketakutan ketika mendengar bahawa raja telah memberi kuasa kepada Yonatan untuk mengumpulkan pasukan.

9. Mereka menyerahkan semua tawanan kepada Yonatan, dan dia mengembalikan mereka kepada ibu bapa mereka.

10. Lalu Yonatan menetap di Yerusalem dan mula membina kota itu semula.

11. Dia memerintahkan para pekerja untuk membina tembok-tembok di sekeliling Bukit Sion dengan batu-batu persegi besar, sehingga bukit itu menjadi kubu. Hal itu dilakukan oleh mereka.

1 Makabe 10