1 Korintus 16:5-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ.

6. Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya.

7. Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu.

8. Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta.

9. Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku.

10. Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan.

11. Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain.

12. Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang.

13. Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan.

14. Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.

15. Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah.

16. Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka.

17. Aku bergembira dengan kedatangan Stefanus, Fortunatus, dan Akhaikus. Ketibaan mereka itu seolah-olah ketibaan kamu sendiri, kerana aku rindu akan kamu.

18. Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu. Orang seperti itu harus dihargai.

19. Kumpulan-kumpulan jemaah di Asia menyampaikan salam mereka kepada kamu. Akwila dan Priska serta jemaah yang berkumpul di rumah mereka pun mengirim salam Kristian yang mesra.

1 Korintus 16