1. Sekarang aku hendak membincangkan wang yang hendak kamu kumpulkan untuk membantu umat Allah di Yudea. Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan-kumpulan jemaah di Galatia.
2. Pada tiap-tiap hari Ahad, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya.
3. Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem.
4. Jika ada manfaatnya aku ikut serta, maka aku akan pergi bersama-sama mereka.
5. Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ.
6. Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya.
7. Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu.
8. Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta.
9. Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku.
10. Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan.
11. Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain.
12. Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang.
13. Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan.
14. Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.