10. Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku.
11. Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya.
12. Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan?
13. Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan.
14. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka.
15. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian.
16. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan.
17. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa.
18. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan.
19. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini!